Wednesday 27 August 2014

HIDAYAH





Semua orang berhak berubah. Hidayah itu milik Allah, hati kita semua milik Allah. Hati kita Allah yang pegang. Jangan dikutuk, dimaki, dibenci dan dikhianati orang yang nak berubah. Biar berubah ke baik, ke jahat sekalipun bukan hak kita untuk menilai baik buruk seseorang. Kita sebagai manusia, apabila melihat seseorang berubah ke arah kebaikan tidakkah terlintas ke dalam diri kita untuk berubah sama?

Kepada yang sudah berubah, ingatlah diri kita semasa kita masih jahil dulu. Jangan dihukum orang yang masih jahil, cuba sedaya upaya untuk menarik mereka, apa kita lupa kita pernah berada di tempat mereka sebelumnya? Kepada yang belum berubah, masih ada lagi masa, teruskan mencuba dan berniat untuk berubah. Masih belum terlambat untuk bertaubat, Allah itu Maha Pengampun, tiada yang mustahil jika segala niat disandarkan hanya untuk Allah semata-mata. Asal kita semua ingat, jangan sampai di penghujung nyawa baru ingat nak bertaubat. Mati itu bila-bila masa, sudah banyak peringatan di dunia, kita hanya lihat dengan pandangan sebelah mata. Jika bukan sekarang, bila? Mati tidak menunggu kita. Bersyukurlah kepada yang sudah berubah.

Jangan menilai seseorang itu berdasarkan masa lampaunya. Semua orang berhak berubah. Hidayah itu milik Allah. Tidak semestinya mempunyai masa lampau yang penuh dengan dosa tidak mempunyai masa depan yang cerah dan tidak semestinya insan yang suci tidak melakukan dosa.  

Hidup dengan hanya satu matlamat iaitu mencari keredhaan Allah. Moga aku, kau, kalian, semua sempat merasa kenikmatan iman dan islam dan moga kita semua dimatikan dalam keimanan. 

Muhasabah diri.

Nukilan dari hati, pesanan buat diri sendiri, perkongsian buat semua. 

1 Zulkaedah 1435H


REDHA





Segala yang dikehendaki oleh Allah untuk terjadi pasti akan terjadi, jika tidak, tidak akan terjadi. Segala aturan yang berlaku Allah susun dengan sebaiknya. Tidak pernah kurang dan tidak pernah lebih. Tiada yang sia-sia dalam apa yang diberikan dan setiap apa yang dikerjakan oleh-Nya. Hamba Allah diuji dalam apa-apa jua bentuk ujian, kegembiraan itu pun salah satu daripada satu ujian. Allah dah uji kemampuan seorang hambaNya sebelum diberikan sesuatu. Allah tahu kemampuan kita untuk menghadapi setiap ujian. Hamba yang diuji kerana Allah sayang kepadanya.


"Tidaklah Allah menghilangkan sesuatu daripada dirimu kecuali Dia menghendaki untuk menggantikan dengan yang lebih baik."


Jika kita redha dengan sesuatu yang mengecewakan hati kita, percayalah Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Berbaik sangka dengan Allah. Setiap ujian ada hikmah dan kemanisannya tersendiri. Hadapinya dengan sabar. Allah itu ada, dan sentiasa ada.

Bersabar dengan diri sendiri dan orang lain, orang lain juga akan bersabar dengan kita. Bersabarlah atas apa jua keadaan, percayalah, sabar itu sangat indah. Biarpun kita tidak dapat apa yg didoakan, jangan cepat mengeluh, kerana Allah telah sediakan yang lebih indah daripada apa yang kita minta. Tetapi, jangan hanya tahu berdoa, usaha itu mesti ada. Setelah berdoa dan berusaha, bertawakal dan redha dengan apa yang akan kita dapat. Paling penting, bersyukurlah atas apa jua sekalipun keadaan baik atau buruknya. Perancangan Allah lebih baik daripada perancangan kita. Jangan cepat mengalah dan melatah. Perjuangan harus diteruskan biarpun perit. Tidak akan berjaya jika jalan yang berduri tidak dilalui. Kenali kesusahan sebelum kesenangan. 

Percaya pada usaha yang telah dilakukan. Segala yang diperolehi adalah hasil daripada usaha itu. Percaya pada ketentuanNya. Percaya setelah berusaha, berdoa dan bertawakal ,redha dengan apa sekalipun keputusannya. Biarpun apa yang dapat bukan apa yang kita jangkakan, bersyukurlah kerana peraturan Allah itulah yang terbaik diberikan.


"Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya Aku bertawakkal."

[At-Taubah:129]



Nukilan dari hati, pesanan buat diri sendiri, perkongsian buat semua. 

1 Zulkaedah 1435H



KESILAPAN



Manusia, tidak dapat lari daripada membuat kesilapan. Dalam sedar ataupun tidak sedar. Mengapa terus menghukum kesilapan itu bila kita tidak tahu mana hujung pangkalnya. Terus menerus menuduh tanpa sebarang bukti, bukankah itu sudah jatuh fitnah? Mencanang cerita yang tidak betul, memburukkan nama orang lain, menokok nambah cerita, memutarbelitkan keadaan dan terus berburuk sangka terhadap semua orang.

Hanya dengan satu kesilapan, satu kesilapan yang orang lain buat, kita terpalit sama dengan kesilapan yang dilakukan. Mana kesilapan yang sebenar? Allahu. Cuba kita berbalik kepada diri sendiri, cuba cari kesilapan itu dekat kita sendiri, tidak tahukah kita bahawa segala kesilapan adalah bermula daripada diri kita sendiri? Ya, kadang2 kesilapan orang lain terkena pulak kat kita memang kita akan bengang, mesti kita akan cakap, "itu bukan aku, itu dia yang buat."


Tapi cuba kita fikir balik, kesilapan yang berlaku kenapa Allah sengaja nak letak kita dalam situasi tersebut. Allah itu Maha Adil, tidakkah segala kesilapan adalah untuk mengajar kita untuk menjadi hamba Allah yang berguna. Biar orang nak buat jahat kat kita, tapi kita kena ingat jangan dibalas kejahatan dengan kejahatan, jangan simpan DENDAM. Hidup berpandukan satu matlamat, mencari keredhaan Allah. Kita bukan hidup nak menyenangi orang, tapi Allah. Buat segala pekerjaan, perkataan yang diucap, tingkah laku dan ibadah semata-mata hanya untuk Allah, bukan untuk orang lain. Bersangka buruk dekat orang mampu menggelapkan hati. Cuci hati kita dari segala hasad dengki, dendam, benci membenci dan sombong.

Orang tak selalu ingat akan kebaikan yang kita buat, tapi satu kesalahan yang kita buat walau sekecil kuman orang akan ingat sampai bila-bila. Orang yang membuat kebaikan tidak akan kekal baik, dan orang yang membuat kejahatan tidak semestinya kekal jahat. Kita sendiri tidak tahu pengakhiran kita.

Allah itu Maha Adil, Allah akan berpihak kepada yang benar. Kita tak tahu permulaan dan pengakhiran sesuatu cerita, jangan memandai membuat kesimpulan sendiri. Sama-samalah kita muqarabah dan muhasabah mana kesilapan kita, perbaiki diri bukan sibuk menuding jari dan mencari kesalahan orang hingga suatu hari kelak ianya akan memakan diri.

Andai diri ini pernah menyakiti sesiapa, aku mohon kemaafan, mati itu bila-bila masa, hanya kemaafan yang aku pinta. Moga kita semua sentiasa dalam lindungan-Nya. 

“Katakanlah (wahai Muhammad akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

[Az-Zumar:10]


Nukilan dari hati, peringatan buat diri sendiri, perkongisan buat semua. 

1 Zulkaedah 1435H